Loading

Cinta Nasi Lemak - Nizam Zakaria

Julia benci memandu di Kuala Lumpur. Banyak kali dia diberitahu bahawa pemandu-pemandu di Kuala Lumpur adalah di antara pemandu-pemandu yang paling kurang ajar di Malaysia (selain dari Pulau Pinang. Tetapi Julia tidak pernah memandu di sana, jadi dia tidak boleh mengesahkan hal ini). Setiap kali dia memandu, ada sahaja kereta yang  akan membunyikan hon kepadanya ataupun memarahi kerana memandu di bawah had laju yang ditetapkan.

Sebuah kereta Honda City bewarna hitam memotong keretanya untuk cepat-cepat masuk ke dalam lorong Touch & Go di Plaza Tol Sunway. Julia hanya mampu berdecit. Dia memandang ke arah jam di dalam kereta pacuan empat roda Toyota Rav4 Turbonya. Dia tidak mahu terlambat ke tutorialnya lagi. Tetapi di hadapannya terdapat beratus-ratus buah kereta yang bergerak perlahan. Sesak. Masing-masing bergegas ke tempat kerja atau seperti dirinya yang sedang bergegas ke Universiti Monash, tempat dia belajar sejak dua tahun yang lepas.
 
Julia menggigit bibirnya. Dia menjengahkan lehernya untuk melihat wajahnya di muka cermin di hadapannya. Dia memandang ke arah bibirnya. Kemudian dia cepat-cepat mengeluarkan gincunya dari dalam beg tangannya lalu mengenakan gincunya. Belum sempat dia dapat mengenakan gincunya, dia dapat mendengar bunyi hon di belakang keretanya. Julia mengeluh. Dia menggerakkan keretanya ke hadapan.
 
Julia adalah satu-satunya anak kepada Dr. Shahri, seorang duda beranak satu yang telah berpisah dengan bekas isterinya sejak tujuh tahun yang lepas. Doktor Sahri mempunyai kliniknya sendiri di Subang Jaya dan kini menetap bersama anaknya Julia yang masih lagi berusia 20 tahun di sebuah banglo di Bandar Kinrara. Sejak berpisah dengan isterinya Wati, Shahri menjaga Julia seperti menatang minyak yang penuh. Apa-apa sahaja permintaan Julia akan diturutinya. Shahri tidak pernah meragui cabaran serta dugaan menjaga seorang anak perempuan. Tetapi dia tetap mencuba sedaya upaya untuk menjaga Julia dengan sebaik-baiknya. Dia mahu membuktikan kepada Wati bahawa dia juga mampu menjaga Julia dan mendidiknya untuk menjadi seorang manusia yang terpuji kelakuannya. Bukan sepertinya, yang dianggapnya seorang wanita jalang yang tidak bermaruah kerana telah curang kepadanya satu ketika dahulu...
 
Julia tercungap-cungap masuk ke dalam kelas tutorialnya. Dia memandang ke arah jam tangannya. Dia tidak terlambat. Dia melepaskan nafasnya apabila dia mendapati pensyarahnya baru sahaja masuk ke dalam kelas tutorial dengan kertas peperiksaan.  Julia memandang ke arah Daniel Tan yang sedang duduk di barisan paling hadapan yang sedang menoleh ke arahnya. Daniel menjeling. Julia membeliakkan matanya untuk memintanya agar jangan menoleh ke arahnya lagi.   
 
Julia menarik nafasnya. Dia memandang ke arah Ariffin, yang sedang duduk di hadapannya. Dia mendapati Ariffin hanya memandang ke arah hujung pensilnya. Kemudian dia menggigit hujung pensilnya itu. Sandra, gadis kelahiran Jakarta yang sedang duduk di sebelah kiri Ariffin sedang termenung memandang ke arahnya. Sandra sedang termenung memikirkan jika Samuel Rizal tidak dapat berlakon di dalam sambungan filem Eiffel I’m in Love, mungkin Ariffin dapat mengambil alih untuk melakonkan wataknya itu. Wajah Ariffin yang nakal itu cukup sesuai untuk watak tersebut, fikirnya.

Julia tahu Sandra dan entah berapa puluh lagi gadis seuniversitinya yang telah jatuh hati kepada Ariffin. Tetapi Ariffin tidak pernah mahu ambil tahu tentang itu semua. Dia pastinya tidak mahu mengambil tahu jika terdapat tulisan “Ariffin is so cute!” di dalam tandas perempuan tingkat 3 di universitinya... Ariffin mempunyai wajah yang manis. Dia mempunyai ketinggian mencecah enam kaki dengan susuk tubuh yang tegap dengan kulit sawo matang yang nampak bersih dan terjaga. Apa yang membuat beberapa gadis di universitinya tertarik kepadanya adalah matanya yang tajam bak burung helang dan senyumannya yang mampu membuatkan hati dan jiwa mereka cair. Untuk seorang anak muda yang baru mencecah usia 20 tahun, Ariffin mempunyai wajah yang matang seperti seorang pemuda berusia pertengahan umur 20-an. Sifat pendiam Ariffin membuat mereka lebih tertarik kepadanya...
 
Julia kerisauan. Dia tidak tahu jika Ariffin akan menepati janjinya. Puan Tan yang menjadi tenaga mengajar untuk kelas Business Law itu mula membahagi-bahagikan kertas soalan peperiksaan kepada pelajar-pelajarnya. Sebaik sahaja Julia mendapatkan kerja soalannya, dia terus melihat soalan-soalan objektif yang ada. Dia rasa mahu pitam. Dia tidak dapat memahami apa yang disoal, inikan pula menjawabnya. Sekali lagi dia memandang ke arah Ariffin. Dia mendapati Ariffin terus membongkok untuk menjawab soalan-soalan yang diterimanya. 
 
Julia mengeluh. Dia dapat merasakan dia akan gagal lagi. Dia mungkin tidak akan mampu menghadapi bapanya jika dia gagal dalam peperiksaannya kali ini... Dua minggu sebelum peperiksaan akhir semester Julia melihat papan tanda di sebelah kelas tutorialnya. Nama pelajar dan keputusan ujian subjek Business Law ada dipaparkan di sana. Beberapa orang pelajar mengerumuni papan tanda tersebut. Ada yang tersenyum dan ada pula yang nampak sedih. Julia dengan takut-takut untuk melihat sendiri keputusan ujiannya. Tetapi dia
tetap memberanikan dirinya untuk mengetahui keputusannya. Wajah Julia pucat. Dia dapat melihat namanya berada di dalam senarai tercorot untuk ujian tersebut.

Julia berdiri kaku buat seketika. Dia dapat merasakan dirinya sukar untuk bernafas. Dia mahu menangis. Ini merupakan kali kedua dia mengambil subjek yang sama kerana pada semester lepas dia pernah gagal dalam subjek ini. Julia tidak mahu gagal kerana dia dia tidak mahu mengecewakan bapanya.  Julia sekali lagi memeriksa senarai tersebut untuk memastikan dia tidak bermimpi. Tetapi di dapatinya bahawa sememangnya dia gagal dalam ujiannya yang lalu.
 
Apabila dia memandang ke senarai yang 5 pelajar teratas, dia mendapati hanya terdapat satu nama Melayu sahaja di situ. Ariffin bin Nordin. Kalau tidak salah, Daniel kenal rapat dengan Ariffin. Daniel pernah sekelas dengan Ariffin di dalam semester-semesternya yang lepas. Julia mencari-cari kelibat Daniel...
 
“Julia! I was looking for you all over the place!” kata Hadi di belakang Julia. Julia mengalihkan pandangannya ke belakang. Hadi berdiri tercegat di belakangnya sambil berpeluk tubuh.
“Dah tu kenapa?” tanya Julia kembali.
“Takdelah... I ingat kita boleh minum-minum ke sebelum you masuk kelas.”
“Hadi... Berapa kali I kena beritahu kat you? I bukan girlfriend you lagi. I takde masa nak layan you macam dulu. Dah sebulan kita break... So it’s over between us! Ada faham tak?” Julia berwajah serius. Dia mahu Hadi berhenti mengganggunya. 
 
Hadi yang bertubuh rendah dan gempal itu terus tersengih. Di dalam seumur hidupnya, segala permintaannya tidak pernah dikecewakan oleh kedua ibu dan bapanya. Malah, dia tidak pernah mengenal erti tidak. Maka, dia langsung tidak dapat menerima hakikat apabila Julia, di antara gadis yang tercantik dan yang paling popular di kolejnya itu menidakkan dirinya. 
 
“Haiyoh Julia! Handbag baru ke? Gucci lagi. Very der Paris Hilton, one!” sebut Daniel yang bertubuh kurus tinggi itu kepadanya. Daniel sempat memandang kepada pakaian dan seluar jeans yang dipakai Julia yang nampak ranggi.

“Ya... I pergi shopping dengan mama I semalam. Dia yang belikan.” Julia menjawab. Dia langsung tidak mengendahkan Hadi lantas masuk ke dalam kelas tutorialnya bersama Daniel. Hadi menggaru-garu dagunya sebelum dia cepat-cepat berjalan ke arah dewan kuliahnya B.
“Thanks again for saving me from that creep!” ujar Julia kepada Daniel.
“That’s what friends are for, yang...” sambut Daniel sebelum dia meminta Julia menunjukkan beg tangan yang baru dibelinya itu kepadanya. Daniel memeriksa kemasan beg tangan itu.
“You girls are so lucky boleh beli benda ni semua, kan?” getus Daniel dengan nada cemburu.
“Eh, nyonya! Kalau you nak pakai handbag macam ni pun boleh jugak. Tapi masa tu I kena panggil you Danielle pulak lah kan?” Julia berseloroh. Daniel menjeling sambil tersenyum. Puan Tan masuk ke dalam kelas. Julia cepat-cepat beralih tempat duduk ke belakang.

Sepuluh minit selepas kelas tutorial dimulakan, Julia mendapati Ariffin yang sedang duduk di hadapannya tertidur dengan kepalanya dibaringkan ke atas meja. Julia menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia hairan bagaimana Ariffin boleh mendapat keputusan yang agak cemerlang untuk ujian-ujian yang dihadapinya sedangkan setiap kali dia datang ke kelas tutorial (itu pun jika dia tidak ponteng), dia akan tertidur atau termenung dan mengelamun seorang diri. Julia tidak pernah melihatnya menumpukan perhatiannya kepada pelajarannya ataupun mengambil nota. 
 
Setengah jam kemudian, Puan Tan mengumumkan mereka akan berehat selama 15 minit sebelum kelas dimulakan semua. Beberapa orang pelajar terus bergegas keluar. Kini hanya tinggal lima orang sahaja di dalam kelas tutorial yang selalunya akan dipenuhi oleh lima belas orang pelajar itu.  
 
Julia berjalan menuju ke arah tempat duduk Daniel. Dia mengajak Daniel supaya keluar dari kelas bersamanya. Daniel bersetuju, walaupun selalunya dia lebih suka duduk di dalam kelas sambil berbual-bual kosong dengan Puan Tan.  Di luar Julia membawa Daniel ke arah sebuah sudut yang tidak terdapat ramai pelajar mundar-mandir di sana.

“Kenapa ni, Julia?” tanya Danial sambil melentokkan kepalanya ke tepi.
“I fail ujian I yang lepas—“
“I know. I saw your name on the list just now.”
“Mati lah I macam ni!”
“It’s not the end of the world, lah.”
“It is to me!”
“Dah tu you nak apa dari I?”
“I nak tanya dari you... Since you know him well and all that—“
“Who are you talking about?”
“Ariffin...”
 
Daniel memegang pipinya yang lembut dan halus itu sambil meraba-rabanya. Dia memikirkan kembali bagaimana dia mula-mula mengenali Ariffin dahulu. Ketika itu dia baru sahaja memasuki universiti Monash sebagai pelajar barunya. Keadaan dirinya yang lembut sering menjadikan dia bahan gurau senda serta ejekan beberapa orang pelajar nakal yang sejurusan dengannya. 
 
Pada satu hari, dia telah diganggu di dalam tandas lelaki oleh pelajar-pelajar nakal tersebut. Daniel cuba melawan, tetapi semakin dia melawan, semakin teruk dia diganggu. Seorang dari pelajar nakal yang mengganggunya mula memegang kolar bajunya lalu menolaknya ke dinding. Mereka memanggilnya dengan pelbagai nama, seperti “faggot, ah-kua dan cock-sucker” untuk tujuan menghinanya - semata-mata kerana Daniel seorang pelajar lelaki yang lembut perwatakannya. Ketika Daniel hampir-hampir mahu dipukul, Ariffin pula kebetulan masuk ke dalam tandas untuk tujuan merokok di situ. Ariffin menghidupkan puntung rokoknya sambil memandang kepada beberapa orang pelajar sekuliahnya yang sedang mengerumuni Daniel. Mereka memandang kepada Ariffin sekali sebelum mereka kembali menganggu Daniel dengan menampar-nampar mukanya.

Ariffin meminta mereka berhenti, tetapi mereka tidak mahu mendengar permintaannya, malah salah seorang dari mereka telah menumbuk perut Daniel apabila Daniel meludah ke arah mukanya. Ariffin kemudian memukul pelajar seramai empat orang itu satu persatu. Daniel tidak pasti apa yang berlaku, tetapi apabila dia kembali membuka matanya, dia dapat melihat pelajar-pelajar yang membulinya itu setiap satu sedang berdiri di satu sudut di dalam tandas tersebut dengan wajah ketakutan. Salah seorang dari mereka cepat-cepat meminta maaf. Ariffin memberitahu kepada mereka bahawa dia tidak mahu melihat mereka mengganggu Daniel lagi. Mereka cepat-cepat mengangguk. Takut. Ariffin terus keluar dari tandas tanpa berkata apa-apa.  
 
Sejak dari hari itu tidak ada sesiapa lagi yang berani mengganggu Daniel lagi. Setahu Daniel, Ariffin tidak mempunyai ramai kawan rapat. Ariffin selalu sahaja menyendiri. Dia boleh memilih untuk menjadi salah seorang pelajar lelaki yang paling popular di universitinya, tetapi itu bukan pilihannya. Dia bukan seperti Julia dan rakanrakannya yang selalu kelihatan bersama dengan kumpulan mereka yang popular. Sebaik sahaja kuliah  selesai, Ariffin akan terus menaiki skuternya lalu menghilang dari kawasan universiti.


Ikuti Cerita Selanjutnya.....!!!!



( Password : Novel I-One )



Reff : nizamzakaria.com


Artikel Terkait:

0 komentar:

Post a Comment

 
Subscribe to Novel I-One

Enter your email address: